DPMM KONGSI PERSPEKTIF DUNIA PERNIAGAAN DALAM KONVENSYEN PENDANAAN POLITIK 2026

KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Perak (DPMMPk) komited memperjuangkan integriti dan tadbir urus perniagaan yang telus menerusi penglibatan aktif peringkat nasional dalam usaha reformasi institusi negara.

Baru-baru ini, bertempat di Auditorium Asian International Arbitration Centre (AIAC), Kuala Lumpur, Konvensyen Pendanaan Politik 2026 telah berlangsung dengan rasminya. Program berprestij bertemakan “Reformasi Institusi: Membina Kepercayaan, Memperkukuh Demokrasi” ini telah dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).

Konvensyen yang dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) ini menghimpunkan seramai 140 peserta merangkumi wakil parti politik, agensi kerajaan, ahli akademik, NGO, CSO, serta Badan Peguam. Ia bertujuan membincangkan hala tuju kerangka perundangan pendanaan politik yang lebih menyeluruh melalui cadangan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik.

Sesi perbincangan turut dimeriahkan dengan forum khas bertajuk “Reformasi Pendanaan Politik: Mengimbangi Ketelusan, Akauntabiliti dan Penyertaan Demokratik”. Sesi ini menampilkan barisan panel daripada Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Transparency International Malaysia (TI), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), serta IDEAS selaku moderator.

Mewakili suara warga perniagaan, Dato’ Mazrol Nizam bin Abdullah, Setiausaha Agung DPMM, telah dijemput sebagai panelis penting. Beliau berkongsi pandangan bernas dari perspektif dunia perniagaan mengenai kepentingan mewujudkan sistem pendanaan politik yang telus, berakauntabiliti tinggi, dan berintegriti demi kestabilan ekonomi negara.

DPMMPk sentiasa menyokong penuh usaha pusat dalam menyumbang pandangan sektor perniagaan ke arah pembentukan dasar serta reformasi institusi yang lebih kukuh. Ini kerana reformasi institusi menuntut kepercayaan, dan kepercayaan itu hanya mampu dibina berpaksikan ketelusan, akauntabiliti, serta integriti.

Sumber asal dipetik daripada portal rasmi: dpmm.org.my

#DPMMPK #DPMM #DewanMelayuPerak #KonvensyenPendanaanPolitik2026 #ReformasiInstitusi #PendanaanPolitik #TadbirUrus #DemokrasiMalaysia #UsahawanPerak