IPOH — Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Perak (DPMMPk) bersedia melangkah dengan semangat baharu berikutan pelantikan rasmi barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) yang baharu menerusi mesyuarat penting bil 4/2026 Sesi 2024-2027 yang telah berlangsung pada 19 Ogos 2026 yang lalu.
Pelantikan ini menandakan satu lagi lembaran penting buat organisasi dalam memastikan kesinambungan usaha memperkasakan agenda ekonomi serta pembangunan komuniti usahawan Melayu di negeri ini terus dipergiat.
Sehubungan dengan itu, pihak dewan merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan syabas kepada seluruh barisan kepimpinan serta ahli yang baru mendapat mandat. Diharapkan agar kepimpinan baharu ini sentiasa dipermudahkan segala urusan, di samping mampu memberikan khidmat bakti yang cemerlang, berdedikasi tinggi, dan penuh integriti bagi memacu DPMMPk ke tahap yang lebih maju serta berdaya saing di peringkat yang lebih tinggi.
Dalam masa yang sama, pihak dewan turut menzahirkan penghargaan mendalam dan ucapan terima kasih yang tak terhingga kepada barisan AJK terdahulu atas segala jasa, pengorbanan, serta sumbangan tenaga yang dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka. Segala komitmen yang diberikan sebelum ini menjadi asas kukuh kepada pencapaian dewan hari ini, dan semoga barisan terdahulu terus cemerlang serta maju jaya dalam apa jua bidang ceburan pada masa hadapan.
Dengan perlantikan serta penyusunan kepimpinan baharu ini, DPMMPk komited untuk terus meneruskan momentum kecemerlangan demi memperkukuhkan rangkaian sokongan dan kemajuan usahawan Melayu di Negeri Perak secara menyeluruh.


