DPMM Perak Perkukuh Hubungan Industri dan Pendidikan Melalui Program CARE Bersama Politeknik Ungku Omar

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Perak (DPMMpK) terus memperkukuh hubungan antara dunia perniagaan dan institusi pendidikan melalui penglibatan dalam program bersama Politeknik Ungku Omar (PUO), Ipoh baru-baru ini.

Program tersebut menyaksikan penyertaan sembilan wakil usahawan DPMM (1-Pn Nur Syazwani Hamid, Pengurus Jom Skor A, 2-Pn Shaffiqah Affrail, Pengurus Besar Bioscience Resources Sdn Bhd, 3-Pn Rohaita Hezan binti Razali, Pengurus ME Services, 4-Pn Hidayah Kamal, Pengurus Kulukelo Global Ventures, 5-Pn Balkis binti Karim, Pengurus Qiss Coffee, 6-Pn Nazlil Zita, Pengurus Naz Pastry, 7-Pn Sy. Fathiyah binti Ahmad, Pengurus Teman Digital, 8-Pn Ezleen Shafena Pengurus Fenasaha Resources dan 9-Pn Roziah Hazan, Pengurus Zee Hazan Ent.) yang tampil membantu dan membimbing para pelajar dalam melaksanakan projek akhir mereka.

Penglibatan usahawan ini memberi peluang kepada pelajar untuk mendapatkan pandangan serta pengalaman sebenar daripada pemain industri, sekali gus menghubungkan pengetahuan yang dipelajari di kampus dengan keperluan dunia perniagaan.

Dalam ucapan perasmian, Yang Dipertua DPMM Negeri Perak Dato’ Ir Ts Kamarullaffie bin Hj Ahmad menegaskan bahawa hubungan antara institusi pendidikan dan dunia perniagaan perlu terus diperkukuhkan, khususnya dalam merapatkan jurang antara kampus dan industri, ilmu dan pasaran serta inovasi dan komersialisasi.

Beliau turut menyeru para pelajar supaya berani mencuba, mencipta dan membawa idea mereka ke pasaran sebenar.

“Kita juga mesti menjadi pencipta.”

Pada masa sama, beliau berharap hasil inovasi yang dipamerkan tidak terhenti selepas program berakhir, sebaliknya terus dibimbing dan diberi peluang untuk dikembangkan ke peringkat pasaran.

Program ini turut mendapat sokongan melalui kehadiran wakil SUK selaku Penyelaras CARE DPMM, yang bersama-sama menyokong usaha memperkukuh jaringan antara institusi pendidikan, industri dan komuniti perniagaan.

Bagi DPMMpK, penglibatan dalam program sebegini bukan sekadar memenuhi jemputan, tetapi merupakan sebahagian daripada usaha berkongsi pengalaman, membimbing generasi muda dan membuka ruang kepada pembangunan bakat serta keusahawanan.

Daripada kampus kepada pasaran, DPMM percaya idea anak muda perlu diberikan ruang untuk berkembang menjadi inovasi dan seterusnya peluang perniagaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *