Pada 28 September 2026, Barisan Kepimpinan DPMMpK telah menghadiri satu taklimat khas bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi mendalami aspek perundangan di bawah Akta Skim Kepentingan 2016 di ibu pejabat SSM Negeri Perak.
Sesi taklimat itu memberi tumpuan kepada peranan akta terbabit sebagai alternatif pendanaan sah bagi membolehkan syarikat mengumpul modal awam, sekali gus membantu usahawan mengatasi jurang pembiayaan perniagaan dalam pelbagai sektor seperti pertanian, pelancongan, dan industri memorial.
Pihak SSM turut mengingatkan para usahawan agar sentiasa mematuhi prosedur perundangan yang dikawal selia, di mana kesalahan di bawah akta ini membawa hukuman berat termasuk denda sehingga RM5 juta. Melalui taklimat ini juga, ahli dewan diberi panduan praktikal mengenai langkah keselamatan yang disediakan SSM, termasuk semakan sijil perakuan kebenaran, surat ikatan amanah, serta prospektus sebelum melibatkan diri dalam sebarang instrumen pelaburan atau pembiayaan alternatif.
Pihak pentadbiran DPMMPk berharap pendedahan bernilai ini dapat dikongsikan bersama seluruh ahli dewan bagi memastikan usahawan Melayu di Perak bukan sahaja sentiasa mendahului peluang ekonomi baharu, malah sentiasa berwaspada terhadap risiko serta mematuhi tata urus perniagaan yang sah dari segi undang-undang.


